Jun 7, 2009

Genetik ketagih makan

Anak yang tubuhnya berisi mungkin menghidap Sindrom Prader Willer yang membawa kepada masalah obesiti.


SELERA makan yang ketara di peringkat awal usia kanak-kanak perlu diberi perhatian serius.


MEMANG menjadi keseronokan bagi sepasang ibu bapa apabila melihat anak sendiri membesar dengan cepat. Sekali pandang, tiada bezanya si pemilik pipi gebu dan lengan berisi itu dengan kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Dalam masyarakat kita, sering kali kanak-kanak yang gemuk dikatakan 'sihat'.



Cuma apabila diteliti, terdapat satu ciri yang ketara iaitu saiz dan bentuk badan anak yang agak pendek. Mengenai tabiat pemakanannya pula, nafsu makan anak mereka yang berumur tiga tahun itu cukup luar biasa malah kadangkala membuatkan ibu bapa 'takut' melihatnya.

"Kalau dulu, hendak menyusu pun susah. Tapi bila saja umur tiga tahun, makannya terpaksa kami pantau. Boleh dikatakan apa saja yang diberi akan dimakannya. Dia tidak ubah seperti mesin makanan," luah Karim Bakar (bukan nama sebenar) mengenai anaknya itu.

Karim memberitahu, doktor yang menyambut kelahiran anaknya itu pernah memberitahu tentang kemungkinan anaknya menghidap masalah berkaitan genetik. Tetapi dia tidak menyangka pemerhatian doktor itu bakal menjadi masalah serius.

"Penyakit ini dikenali sebagai Sindrom Prader Willer (PWS) dan ia sangat jarang berlaku. Ia melibatkan struktur genetik yang kompleks yang seterusnya memberi kesan terhadap banyak bahagian pada tubuh," kata Jururunding Genetik Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Choy Yew Sing.

MENURUT Dr. Choy, bayi yang menghidap PWS melalui keadaan hypotonia.

Jelas Yew Sing, ketika bayi, mereka dikenal pasti melalui keadaan ketegangan otot yang lemah (hypotonia), kesukaran untuk menyusu, pembesaran dan perkembangan yang perlahan.

"Pada fasa pembesaran awal, nafsu terhadap makanan amat tinggi malah sukar dikawal. Perkembangan ini akan menyebabkan mereka mengalami obesiti. Dalam kes yang pernah direkodkan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun mempunyai berat badan sehingga 90 kilogram (kg)," katanya kepada Jurnal.

Ibu bapa yang tidak prihatin tentang masalah yang dilalui oleh anak mereka akan terus memberikan makanan setiap kali diminta oleh kanak-kanak itu. Lebih membimbangkan, ibu bapa itu langsung tidak mengetahui soal zat, nutrisi atau kualiti makanan itu secara asas.

Tanpa bimbingan dan kesedaran aspek kesihatan, keputusan dan tindakan kanak-kanak ini secara tidak langsung dipengaruhi. Bukan suatu yang mustahil jika kanak-kanak tersebut melatih diri 'mencuri' makanan setiap kali terasa lapar pada waktu malam atau ketika tidak diperhatikan ibu bapa atau penjaga. Dalam fikiran mereka, perbuatan itu tidak menyalahi peraturan dalam rumah.

"Sesetengah gen hanya akan aktif apabila salinannya diwarisi daripada sebelah ayah. PWS wujud apabila kromosom 15 daripada sebelah ayah ini hilang atau tidak terbentuk dengan sempurna lalu mengganggu kromosom daripada sebelah ibu untuk menyalin set kromosom," jelasnya mengenai keadaan genetik abnormal ini.

DUA kanak-kanak lelaki sama usia dengan salah seorang daripadanya menghidap PWS.

Antara petunjuk lain mengenai penyakit ini ialah kaki dan tangan yang pendek, struktur muka yang tersendiri, ton kulit serta warna rambut yang luar biasa cerah.

Bagi mengesan penyakit yang dialami oleh satu dalam 10,000 hingga 15,000 bayi, pemeriksaan klinikal terhadap genetik diperlukan.

"Lazimnya, pemeriksaan ini disyorkan kepada bayi yang baru lahir apabila hypotenia dikesan. Pemeriksaan awal PWS akan memudahkan rawatan susulan diberikan terutama pemberian hormon pembesaran," jelasnya.

Suntikan hormon secara berkala boleh membantu perkembangan otot serta mengurangkan pengambilan makanan serta menaikkan berat badan bayi.

"Ini adalah penting kerana pada awal kelahiran, bayi PWS mempunyai berat badan yang amat kurang kerana kesukaran menyusu. Jadi, dengan suntikan hormon ini, pembesaran tubuh bayi akan terjadi secara normal," katanya. - SHANIKA ABDULLATIB

Read More......

Apr 19, 2009

Tidak semua buasir sama

HEMOROID atau lebih sinonim sebagai buasir di kalangan masyarakat tempatan merupakan keadaan bengkak dan inflamasi di pembuluh darah serta tisu di sekeliling bahagian anus (dubur) dan bahagian penghujung rektum (bahagian akhir usus besar).

Ia terjadi apabila pesakit meneran ketika membuang air besar atau berlakunya tekanan yang berterusan ke atas pembuluh-pembuluh darah di bahagian tersebut sewaktu pesakit mengandung.

Walaupun topik ini agak jarang dibincangkan, buasir merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh ramai orang.



Terdapat lebih kurang separuh daripada orang dewasa yang berumur sekitar 50-an mengalami rasa gatal-gatal, pendarahan dan kesakitan di bahagian anus yang merupakan tanda-tanda awal buasir akan berlaku.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kaedah dan pengubatan yang boleh merawat penyakit ini. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini hanya memerlukan penjagaan kebersihan diri dan beberapa perubahan dalam cara kehidupan terutaman dari segi pemakanan.

Jenis, tanda dan simptom berlakunya buasir bergantung pada kawasan sekitar anus di mana buasir itu terjadi.

Menurut Pakar Bedah, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain, seseorang itu tidak boleh melihat atau berasa buasir bahagian dalaman tetapi apabila meneran sewaktu membuang air besar, permukaan buasir yang lembut akan tercedera dan mengakibatkannya berdarah.

‘‘Anda mungkin akan terlihat beberapa titik darah merah pada tisu tandas atau dalam mangkuk tandas. Disebabkan membran anus dalaman tidak mempunyai saraf fiber yang peka terhadap rasa sakit, pesakit jarang mengalami rasa tidak selesa atau kesakitan.

“Tetapi, anda mungkin mengalami rasa ‘penuh’ di dalam rektum selepas membuang air besar. Ada ketikanya, apabila meneran, ia akan menolak keluar buasir dalaman melalui pembukaan di anus. Jika buasir itu prolaps (atau terkeluar dari kedudukan asalnya), pesakit akan berasa sakit dan tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, bagi pesakit yang mengalami buasir luaran pula, mereka akan mengalami rasa sakit.

Kadangkala, darah yang terkumpul di dalam buasir luaran ini akan membeku (trombus) dan mendatangkan rasa sakit yang keterlaluan, pembengkakan dan inflamasi.

Apabila iritasi berlaku, buasir luaran boleh mengakibatkan pesakit mengalami kegatalan atau perdarahan.

Punca-punca

Buasir boleh berlaku apabila terdapat sebarang tekanan yang berterusan di dalam pembuluh darah di bahagian bawah rektum.

Punca-punca tekanan berlaku adalah:

* Pesakit mengalami sembelit dan regangan yang berlaku sewaktu sembelit. Gejala ini boleh berlaku akibat tumor di bahagian rektum. Oleh itu, buasir dalam keadaan ini hanyalah masalah luaran sahaja sedangkan masalah asal ialah tumor di dalam rektum.

* Pesakit mengalami cirit-birit dan pengeluaran najis cair secara berterusan. Bagi mereka yang berpotensi untuk terjadi buasir, kerapkali merasakan gejala buasir ini sewaktu mengalami keracunan makanan yang menyebabkan cirit-birit selama beberapa hari.

* Pesakit berada dalam keadaan duduk atau berdiri dalam jangka masa yang lama. Contohnya, para penunggang motosikal jarak jauh, pemandu teksi, lori dan bas, pekerja pejabat dan juga, mereka yang harus berdiri lama di dalam pekerjaan seharian seperti guru dan sebagainya.

* Pesakit yang mengalami obesiti.

* Pesakit terpaksa mengangkat objek yang berat.

* Pesakit yang mengandung dan melahirkan anak.

Buasir juga boleh diwarisi. Namun begitu faktor-faktor yang tersebut di atas perlu wujud untuk terjadinya buasir.

Faktor keturunan hanya menjadikan seseorang itu lebih berpotensi untuk menghidapi buasir berbanding orang lain tetapi tidak bermakna mereka pasti akan menghidap buasir.

Ujian saringan

Dr. Abd. Hamid berkata, secara amnya, anda perlu berjumpa doktor sekiranya buasir yang dialami tidak pulih melalui penjagaan kebersihan diri, mengakibatkan rasa sakit atau berlaku pendarahan secara berlebihan.

“Tetapi sekiranya masalah berterusan walaupun telah mendapat rawatan awal dengan ubat-ubatan daripada doktor di klinik, maka pesakit haruslah mendapatkan rundingan pakar bedah.

“Tanda yang paling ketara seseorang itu mengalami buasir dalaman ialah berlakunya pendarahan di bahagian anus sewaktu membuang air besar.

“Namun, pendarahan rektal boleh berlaku atas sebab lain. Oleh itu, pesakit dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk memastikan ia tidak berpunca daripada sebarang penyakit yang lebih serius seperti kanser kolorektal,” ujar beliau.

Jika pada peringkat awal buasir terdapat perubahan yang ketara apabila anda membuang air besar atau jika najis berwarna hitam, merah pekat atau seakan tar, silalah berjumpa dengan doktor pakar dengan segera.

Warna najis yang sedemikian menunjukkan pendarahan telah berlaku di bahagian lain dalam salur pencernaan anda.

Anda juga dinasihat untuk mendapatkan penjagaan kecemasan sekiranya terlihat pendarahan yang banyak pada anus, rasa pening-pening atau pitam.

Doktor juga boleh menentukan jika anda mengalami buasir luaran hanya dengan melihat bahagian buasir itu.

“Untuk buasir dalaman, doktor mungkin ingin menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan jari yang bersarung getah atau Digital Rectal Examination (DRE). Tetapi, teknik pemeriksaan ini bukanlah muktamad kerana kadangkala buasir dalaman terlalu lembut untuk dikesan melalui pemeriksaan rektal.

“Dalam kes ini, doktor anda mungkin ingin memeriksa bahagian bawah kolon dan rektum dengan anaskop, protoskop atau sigmoidoskop,” jelas Dr. Abd. Hamid.

Tambah beliau, kadangkala, pemeriksaan yang lebih ekstensif termasuk pemeriksaan keseluruhan kolon dan rektum menggunakan kolonoskopi fiber optik yang anjal untuk mengesan pendarahan pada lesi di bahagian rektum atau mana bahagian kolon yang harus dilakukan.

Pesakit dinasihatkan untuk mendapat rawatan susulan jika berlaku pendarahan yang berterusan selepas sesuatu rawatan.

Rawatan

Dalam banyak kes rawatan buasir, terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan sendiri.

Tetapi, perlu diingatkan, ada waktunya, pengubatan atau prosedur pembedahan adalah perlu.

Jika buasir anda hanya mendatangkan rasa ketidakselesaan yang sedikit, doktor mungkin akan mencadangkan krim, ubat sapuan atau pad yang mengandungi agen antiradang.

Bahan seperti ini mengandungi steroid hidrokortison yang boleh dibeli di kaunter farmasi sebagai ubat OTC (over the counter) dan tidak memerlukan preskripsi.

Jika pesakit mengamalkan rawatan ini dengan mandian air panas, ia akan mengurangkan simptom-simptom buasir.

Jika terdapat darah beku di bahagian dalam buasir luaran, doktor akan membuang darah beku itu dengan melakukan insisi (pemotongan) ringkas yang akan melegakan rasa sakit yang dialami.

Prosedur ini biasanya akan dilakukan dengan menggunakan bius umum dan pesakit tidak akan berasa apa-apa kesakitan.

Selepas pembedahan ini dilakukan, sebagaimana pembedahan lain yang melibatkan kawasan luka pada anus, pesakit harus mencuci luka di dubur dengan kaedah mandian sitz, melibatkan rendaman dubur yang luka di dalam air suam yang dicampur larutan garam (salina) selama 15 hingga 20 minit setiap kali, 2 hingga 3 kali sehari.

Jika anda mengalami kesakitan atau perdarahan buasir yang kerap, doktor mungkin mencadangkan:

* Banding Haemorrhoids. Doktor akan meletakkan satu atau dua gelung getah di pangkal buasir dalaman untuk menyekat peredaran darah dan buasir itu akan terjatuh dalam jangka masa tertentu. Prosedur ringkas yang dikenali sebagai ligasi pita getah (rubber band ligation) boleh dilakukan di klinik doktor dan amat berkesan bagi ramai orang yang mengalami buasir peringkat 1 dan 2.

* Skleroterapi. Prosedur ini melibatkan satu larutan kimia yang disuntik di sekitar salur darah untuk mengecutkan buasir. Prosedur boleh mendatangkan komplikasi yang buruk seperti pendarahan dan jangkitan kuman di bahagian yang disuntik. Oleh sebab itu, prosedur ini amat jarang dipraktikkan oleh pakar bedah seluruh dunia.

* Lampu inframerah. Lampu inframerah yang dipancarkan selama 1 hingga 2 saat ke bahagian buasir boleh memotong peredaran darah dan mengecilkan bahagian buasir dalaman yang berdarah. Kaedah ini memerlukan penggunaan alat inframerah fotokoagulator yang berteknologi tinggi. Oleh kerana keberkesanan kaedah ini adalah sama dengan rubber banding, kaedah ini tidak begitu popular di kalangan pakar-pakar bedah.

* Pembedahan. Jika prosedur lain tidak berjaya atau jika anda mempunyai buasir yang besar, doktor pakar anda akan membuang tisu berkenaan dalam satu prosedur yang dikenali sebagai hemorhoidektomi. Pembedahan ini dilakukan sama ada dengan menggunakan bius setempat digabungkan dengan sedatif (ubat penenang), anestetik spina atau bius umum. Selalunya, ia dijalankan sebagai rawatan pesakit luar tetapi pesakit boleh bermalam di hospital jika perlu. pesakit juga boleh mendapatkan ubat jika berasa tidak selesa dan sakit selepas prosedur dijalankan. Salah satu cara melegakan rasa sakit ialah dengan kaedah mandi sitz (pesakit duduk dalam suatu tab mandi pinggul yang agak cetek). Selain itu, teknik pembedahan yang terkini seperti Stapled Haemorrhoidopexy mungkin akan mengurangkan rasa sakit yang dialami. Walau bagaimanapun, prosedur ini masih belum menjadi prosedur pembedahan yang menjadi kebiasaan untuk rawatan buasir teruk kerana keberkesanan keseluruhannya masih di dalam proses kajian.

Pencegahan

Untuk mencegah buasir atau flare-ups anda dinasihatkan supaya:

* Makan makanan berserat tinggi. Lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin di dalam diet pemakanan anda. Dengan berbuat demikian, ia akan melembutkan najis serta meningkatkan saiznya di mana ia akan mengurangkan kebarangkalian pesakit untuk meneran yang akan mengakibatkan buasir.

* Minum air yang banyak. Jumlah air yang anda patut minum setiap hari berbeza dan bergantung kepada faktor umur, jantina, kesihatan, tahap aktiviti dan faktor-faktor lain.

* Ambil makanan tambahan yang berserat. Produk yang boleh didapati di kaunter farmasi seperti Metamucil dan Citrucel akan membantu anda membuang najis yang lembut dan secara lebih kerap. Rujuk kepada doktor anda tentang penggunaan ubat yang boleh melembutkan najis.

Jika anda mengambil makanan tambahan berserat, pastikan anda minum sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas air setiap hari. Jika tidak, ia akan mengakibatkan sembelit atau menjadikan buasir lebih teruk. Tambahkan pengambilan serat tambahan ke dalam diet anda secara perlahan-lahan untuk mengelakkan sebarang masalah dengan gas (angin).

* Melakukan aktiviti fizikal. Aktifkan diri anda dengan mengurangkan tekanan pada vena (pembuluh darah), yang akan terjadi apabila anda berdiri atau duduk terlalu lama. Selain mengelakkan sembelit, dengan melakukan latihan, anda juga boleh mengurangkan berat badan yang berlebihan.

* Elakkan berdiri atau duduk dalam jangka masa yang lama. Jika anda terpaksa duduk untuk jangka masa yang lama, jangan gunakan kusyen donut sebagai alas kerusi anda. Ia hanya akan meningkatkan tekanan pada vena di dalam anus.

* Elakkan meneran. Meneran dan menahan nafas ketika membuang air besar akan mengakibatkan tekanan yang kuat dalam vena di bahagian bawah rektum.

* Jika terasa ingin membuang air besar, lakukan dengan segera. Jika ditahan, najis anda akan menjadi kering dan lebih sukar untuk dibuang.

Penjagaan

kebersihan diri

Anda boleh mengurangkan rasa sakit, bengkak atau inflamasi buasir dengan penjagaan diri yang berikut:

* Menggunakan rawatan topikal. Menyapu krim buasir atau supositori yang mengandungi hidrokortison atau menggunakan pad yang mengandungi agen kebas.

* Memastikan kawasan anus bersih. Mandi setiap hari untuk membersihkan kawasan kulit di sekitar anus perlahan-lahan dengan air suam. Anda tidak perlu menyabun kawasan ini kerana ia akan menjadikannya lebih teruk. Keringkan kawasan tersebut dengan pengering rambut secara perlahan-lahan selepas mandi untuk mengurangkan kelembapan yang hanya akan mengakibatkan iritasi.

* Berendam secara konsisten dalam air mandian suam. Lakukan ini beberapa kali sehari.

* Menolak semula buasir yang prolaps (terkeluar dari kedudukan asal). Jika buasir mengalami prolaps, perlahan-lahan tolak buasir semula ke dalam ruang anus.

* Gunakan mandian sitz dengan air suam. Mandian sitz boleh diletakkan di atas tandas dan boleh didapati di farmasi atau stor perubatan.

* Jangan gunakan tisu tandas yang kering. Gunakan tisu basah atau tisu yang dibasahkan selepas membuang air besar.

* Ambil ubat secara oral (makan). Paracetamol, aspirin atau ibuprofen akan mengurangkan rasa ketidakselesaan.

Perlu diingat bahawa penjagaan kebersihan diri ini akan mengurangkan simptom tetapi ia tidak akan menghilangkan buasir. Rujuk kepada doktor pakar jika rasa sakit yang dialami tidak berkurangan dalam beberapa hari atau dengan segera jika anda mengalami sakit atau pendarahan yang teruk.
Read More......

Cantik dan sihat tanpa jerawat

CANTIK yang sihat. Bunyi macam pelik tetapi masih ramai wanita yang tidak mengetahui kesihatan merupakan elemen utama untuk sentiasa kelihatan cantik.

Wanita perlu jelas bahawa kecantikan lahir daripada kesihatan yang baik.

Bagi wanita yang sihat, mereka tidak mempunyai masalah untuk kelihatan cantik dalam apa jua keadaan.

Pencegahan semula jadi seperti ini dapat menjimatkan kos rawatan yang mencecah ribuan ringgit di samping memastikan hormon dalam diri berfungsi dengan baik.
Ini kerana hormon yang berada dalam diri kita banyak mempengaruhi kehidupan seharian.


Selain itu, pemakanan yang tidak sihat, tidur tidak cukup dan tidak melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh boleh mengakibatkan masalah jerawat, kegemukan atau penyakit berbahaya seperti kanser payu dara, sakit jantung dan sebagainya.

Tentu sahaja kita menjadi takut mendengarnya.

Bagi wanita yang mementingkan penampilan cantik, antara masalah yang paling ingin dijauhi ialah jerawat.

Sedarkah kita, sekiranya kita gagal mengawal keseimbangan hormon seks dengan sempurna, jerawat yang menjadi perkara biasa kepada wanita, boleh menjadi penyakit kulit yang serius.

Perkataan jerawat berasal daripada satu perkataan greek yang bermaksud ‘masa yang paling penting dalam hidup’.

Kajian telah menunjukkan pesakit atau individu yang mengalami masalah jerawat seringkali mempunyai masalah berkaitan harga diri, keyakinan terhadap diri sendiri, pergaulan sosial, kemurungan, kegusuran dan kadar tidak bekerja yang tinggi.

Justeru itu, penting bagi wanita menjaga kesihatan dengan amalan yang betul.

Menurut Pakar Estetik dan Antipenuaan, Alice Total Wellness, Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. Alice Prethima Michael, asas kesihatan adalah dari dalam diri dan bergantung kepada gaya hidup hidup seseorang.

“Wanita dan lelaki perlu tahu apa yang dikatakan sihat dan cantik. Tidak dinafikan banyak pilihan rawatan untuk pelbagai penyakit zaman kini, tetapi kita sendiri perlu bijak menyusun jadual, pemakanan dan aktiviti kesihatan.

“Dengan adanya kesihatan tubuh badan luar dan dan dalam yang baik, kita dapat menampilkan diri dengan kecantikan semula jadi.

“Manakala keseimbangan hormon amat penting dalam kebanyakan aktiviti manusia termasuk mengakibatkan tumbuhnya jerawat yang besar dan banyak serta mengganggu kesuburan wanita,” jelasnya.

Alice memberitahu, apabila seseorang itu tidak dapat mengawal kesihatan dengan rutin harian yang baik, anda mungkin diserang pelbagai penyakit.

Beliau menjelaskan, mendisiplinkan diri dengan tidur yang cukup (lima hingga tujuh jam sehari), senaman yang berterusan, minum air yang banyak dan lebihkan makan sayur-sayuran yang segar adalah perlu sebagai jambatan ke arah cantik yang sihat.

“Bermula daripada langah-langkah mudah ini kita boleh mengelakkan daripada jerawat.

“Normalnya, ia merupakan penyakit kulit yang paling biasa di kalangan golongan muda.

“Secara umumnya, tapak pertumbuhan jerawat ialah di muka, belakang badan dan dada. Ia disebabkan oleh perubahan hormon seks.’’ katanya.

Menurut Dr. Alice, jerawat boleh diminimakan dan parutnya boleh dikurangkan dengan penjagaan kulit yang rapi.

“Sekiranya jerawat masih tumbuh ketika usia tua, seseorang itu perlu mencari ikhtiar untuk memastikan hormon menjadi seimbang semula,” katanya.

Alice memberitahu, jerawat melibatkan kelenjar sekresi minyak (kelenjar sebum), liang roma dan bahagian hujung folikel rambut.

Terdapat penyumbatan pada folikel rambut dan kelenjar sebum oleh sebum (minyak).

Oleh itu, bakteria pada penyumbatan itu membiak dan menghasilkan nanah pada jerawat.

Alice berkata, apabila penyumbatan sebum itu terdapat di bawah kulit, ia dikenali sebagai bintik putih, dan apabila ia mencapai permukaan kulit, ia menjadi gelap dan dikenali sebagai bintik hitam.

Jelas beliau lagi, jerawat atau acne merupakan keradangan (inflamasi) tisu pada bahagian kelenjar minyak (sebaceous) pada bahagian kulit manusia.

Alice berkata, masalah ini biasanya dialami oleh remaja apabila mereka mula mencapai tempoh kematangan.

“Lebih kurang 85 peratus daripada individu dalam lingkungan umur 12 hingga 25 tahun akan menghadapi masalah jerawat - acne vulgaris.

“Semasa proses kematangan individu, kelenjar-kelenjar minyak menjadi sangat aktif kerana penghasilan dan perubahan horman,” jelasnya.

Tambah beliau, kegagalan fungsi folikel pilosebaceous yang didorong oleh perubahan hormon androgen terutamanya semasa remaja, akan menyebabkan terjadi jerawat.

Ketika proses ini berlaku, hormon yang terlibat ialah testosteron dan ditukarkan kepada dihidrotestosteron di dalam kulit dan bertindak terus pada kelenjar minyak untuk meningkatkan saiz dan kadar metabolik.

“Bagi individu yang sensitif, penghasilan sebum yang berlebihan akan berlaku.

“Kelenjar minyak mengandungi campuran mikroorganisma yang biasa ialah propionibactium acnes.

“Kuman ini mampu mengubah sebum kepada asid lemak yang boleh menyebabkan keradangan,” jelasnya.

Alice memberitahu, bukan sahaja jerawat tetap penyakit-penyakit lain yang dialami oleh wanita mahu pun lelaki memerlukan penjagaan awal yang telah diterap dalam diri sejak dari usia muda lagi.

Tepuk dada tanya selera! Keinginan untuk memiliki kecantikan dan kesihatan yang sempurna terletak di tangan anda sendiri.
Read More......

Senaman tujuh minit bantu elak diabetes

LONDON: Senaman secara agresif dan berterusan selama tiga minit dapat membantu mengelakkan diabetes kerana dipercayai dapat mengawal kandungan gula dalam darah, kata penyelidik Britain.

Hasil kajian yang disiarkan dalam jurnal BioMed Central Endocrine Disorders menunjukkan orang ramai yang tidak mampu memenuhi garis panduan kerajaan menggesa senaman secara sederhana hingga bersungguh-sungguh selepas beberapa jam seminggu masih boleh mendapat manfaat daripada bersenam.


“Ia cuma jumlah senaman yang boleh anda lakukan tanpa berpeluh. Anda boleh menjadikan cara senaman itu berkesan seolah-olah melakukannya selama berjam-jam dan latihan berterusan setiap minggu,” kata pakar biologi senaman di Universiti Heriot-Watt di Edinburgh, James Timmons, yang mengetuai kajian.

Timmons dan pasukannya menunjukkan senaman cuma tujuh minit setiap minggu membantu sekumpulan 16 lelaki dalam lingkungan usia 20-an mengawal insulin mereka.

Sukarelawan yang berkeadaan gemuk tetapi sihat, mengayuh basikal senaman sebanyak empat kali sehari selama 30 saat dan melakukan-nya dengan pantas dua kali seminggu.

Selepas dua minggu, mereka mencatatkan kemajuan 23 peratus keadaan tubuh mereka bertambah baik dalam menggunakan insulin secara berkesan untuk membersihkan glukos dari saluran darah, kata Timmons.

Kesan itu berpanjangan sehingga 10 hari selepas pusingan akhir senaman. - Agensi

“Idea mudahnya ialah jika anda melakukan pengecutan otot ketika berlari atau berkayuh anda menaikkan kemampuan insulin untuk membersihkan glukos dari saluran darah,” katanya. - Agensi
Read More......

Cara mencapai kesihatan optimum bagi pesakit jantung

SAMUEL (bukan nama sebenar) pernah menjadi contoh orang yang sihat dan dicemburui oleh rakan-rakan sebaya. Dia bersenam setiap hari, makan secara sihat, mengambil alkohol secara sederhana dan tidak pernah merokok.

Tetapi, tugasnya sebagai seorang pengarah urusan yang sibuk penuh dengan ketegangan menyebabkan dia tidak dapat tidur malam.

Tambahan pula, kedua-dua ibu bapa Samuel menderita serangan jantung sebelum mereka mencecah usia 55.
Ketika berlari di atas mesin penginjak pada suatu hari, Samuel, yang pada masa itu berusia 49 tahun, berasa sakit yang mencucuk di tengah dadanya dan mula berpeluh dengan cepat.

Dia menjerit meminta bantuan dan dikejarkan ke hospital. Ya, dia telah mengalami serangan jantung, namun mujurlah, serangan itu dianggap ringan dan selepas pemulihan beberapa bulan, dia kembali seperti biasa.

Terkejut dengan kejadian itu, Samuel mula belajar mengurangkan ketegangan dan memperlahankan rentak kerjanya.


Jika anda mengalami mana-mana daripada simptom ini–rasa sakit, sesak dada atau tekanan dalam dada, nafas singkat, sakit di rahang, leher, lengan, bahu atau belakang, rasa mual, berpeluh sejuk atau rasa pening dan pitam–ini adalah tanda-tanda amaran serangan jantung akan tiba.

Serangan jantung berlaku apabila saluran yang membekalkan darah ke otot jantung tersumbat, membawa kepada kematian sel otot jantung.

Penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu di kalangan lelaki dan wanita Malaysia.

Wabak penyakit kardiovaskular global meragut 17 juta nyawa atau kira-kira satu pertiga daripada kematian di serata dunia pada setiap tahun.

Bukan semua orang bernasib baik seperti Samuel dan walaupun sesetengah faktor adalah di luar kawalan kita contohnya jantina, keturunan dan ras, terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mendapatkan jantung yang sihat.

Di antara faktor risiko yang boleh dikawal termasuk kolesterol darah yang tinggi, merokok, tekanan darah tinggi, ketiadaan aktiviti fizikal dan obesiti.

Merokok adalah salah satu punca utama serangan jantung yang meletakkan tekanan tambahan ke atas jantung kerana ia menyebabkan saluran darah menekan ke bawah atau mencerut.

Jika saluran darah menjadi sempit dan rosak kerana penyakit jantung, merokok memburukkan lagi masalah itu.

Tekanan darah 140/90 atau ke atas adalah dianggap tinggi dan memaksa jantung bekerja lebih kuat. Jika tidak dikawal, ia meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar atau masalah buah pinggang.

Turunkan angka itu dengan bersenam, mengurangkan berat badan, mengurangkan pengambilan garam atau mengambil ubat.

Aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit pada kebanyakan hari dapat memperbaiki paras kolesterol darah, tekanan darah dan gula darah (yang mana adalah kebimbangan utama bagi penghidap diabetes).

Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh mempercepatkan timbunan lemak dalam arteri koronari.

Lemak tubuh yang berlebihan adalah dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, diabetes dan awal penyakit jantung, oleh itu kawal apa yang anda masukkan ke perut.

Bentuk tubuh dan ukuran pinggang anda juga adalah petunjuk risiko penyakit jantung. Jika ukuran pinggang anda adalah 94sm (37in) dan ke atas untuk lelaki atau 80sm (32in) dan ke atas untuk wanita, anda memang berisiko.

Jika ukuran pinggang anda ialah 102sm (40in) dan ke atas untuk lelaki atau 88sm (35in) dan ke atas untuk wanita, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi. Oleh itu, jaga pinggang anda!

Jika anda seorang pesakit jantung, jangan risau. Anda juga boleh mempunyai hidup yang berkualiti dengan syarat anda mengubah gaya hidup dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut Persatuan Jantung Amerika, aktiviti seperti berjalan, berjoging dan berenang membantu mengekalkan kecergasan sistem kardiovaskular dan hampir semua orang boleh melakukannya.

Tetapi, sesetengah orang dengan kecacatan jantung perlu membataskan aktiviti mereka.

Selalunya ini bererti melepaskan sukan yang kompetitif serta senaman tertentu termasuk senaman isometrik, angkat berat, memanjat tali, duduk tegak, tarik paras dagu dan tekan tubi.

Sukan berintensiti rendah seperti golf dan aktiviti seperti menari, berenang santai, berbasikal dan berjalan langkah panjang tidak banyak membawa penekanan ke atas jantung.

Beban kerja jantung anda boleh ditingkatkan dalam dua cara: dengan meningkatkan jumlah darah yang dipamkan oleh jantung, dan mengepam pada tekanan darah yang lebih tinggi.

Aktiviti fizikal membuatkan jantung anda bekerja lebih kuat tetapi jumlah kerja tambahan yang diperlukan untuk jantung adalah berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain.

Petua untuk jantung yang lebih muda dan sihat:

* Berhenti merokok. Cuba sahaja belum cukup tetapi terus berhenti

* Jaga diet anda. Makan dan hiduplah secara sihat

* Bersenam. Bergerak sekurang-kurangnya 30 minit sehari, empat kali seminggu

* Kenali isyarat ketegangan dan belajar cara mengurangkannya

* Kekalkan motivasi dan bersikap positif

* Lakukan saringan perubatan dan ujian ketegangan tahunan.

Jika tidak ada sejarah penyakit jantung, diabetes, hipertensi atau obesiti dalam keluarga, lakukan saringan perubatan dan ujian ketegangan tahunan menjelang usia 35 (lelaki) dan 40 (wanita).
Read More......