Jan 5, 2009

Rhinolith: Batu dalam hidung

NUFERA: MAKANAN BERFUNGSI LENGKAP http://nufera-virgin-coconut-oil.blogspot.com/

KITA mungkin sering mendengar tentang kejadian batu karang dalam pundi kencing, ginjal, pundi hempedu dan sebagainya.

Namun pernahkah anda terfikir bahawa batu juga boleh wujud di dalam hidung?

Kes-kes batu dalam hidung ini bukan satu situasi yang jarang ditemui dalam praktis otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak).

Batu yang dimaksudkan di sini bukanlah batu yang termasuk ke dalam lubang hidung (walaupun ini juga ada berlaku).

Ia lebih difokuskan kepada batu yang terbentuk di dalam lubang hidung itu sendiri. Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai rhinolith.

Bagaimana ia terjadi?

Kes-kes objek asing atau foreign body di dalam hidung merupakan suatu yang seringkali ditemui terutama dalam kalangan kanak- kanak.

Golongan dalam lingkungan usia dua atau tiga tahun merupakan mereka yang mudah terlibat dengan kes-kes sebegini.

Golongan ini juga merupakan mereka yang seringkali dibiarkan bermain bersendirian dengan objek-objek kecil seperti manik, cebisan kertas, pembungkus gula-gula, getah pemadam dan sebagainya.

Pembentukan batu berlaku jika sesuatu objek itu lama terbiar di dalam rongga hidung. Biasanya ia adalah objek bukan organik seperti logam, butang, manik dan plastik.

Bagi objek organik, biasanya pesakit akan mengalami reaksi keradangan pada selaput mukosa dalam hidung yang berkesudahan dengan pembengkakan, kemerahan, jangkitan kuman serta mungkin bernanah.

Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan dan pesakit akan datang mendapatkan rawatan lebih awal.

Disebabkan sifat bukan organik benda asing atau batu itu sendiri, ia mungkin juga dijumpai di kalangan orang dewasa.

Ini kerana ada ketikanya kemasukan benda asing bukan organik ini berlaku secara tidak sedar. Rhinolith juga boleh terbentuk daripada bahan yang datang dari badan manusia sendiri (endogenous) seperti gumpalan mukus yang mengeras, ketulan darah, serpihan tulang dan sebagainya.

Gejala dan Tanda

Antara gejala yang sering dialami oleh pesakit ialah:

* Tersumbat sebelah hidung

* Hidung berair dan kadangkala bercampur nanah

* Pendarahan hidung yang berulang- ulang

* Gejala sinusitis seperti demam, sakit pada rongga sinus

* Bau nafas yang kurang menyenangkan

* Sakit kepala

Sungguhpun begitu, tidak kurang juga jumlah pesakit yang mempunyai rhinolith ini ditemui secara tidak sengaja, iaitu pada pemeriksaan rutin kesihatan sebelum mula bekerja atau memasuki universiti.

Ada juga pesakit yang datang dengan masalah sinusitis yang berpunca daripada kewujudan rhinolith yang mengganggu pengaliran mukus dalam hidung serta mengganggu ventilasi rongga sinus.

Diagnosis

Setelah mendapatkan sejarah kesihatan pesakit yang lengkap, doktor akan memeriksa rongga hidungnya.

Biasanya, endoskopi hidung diperlukan untuk melihat dengan jelas bentuk, saiz, permukaan serta reaksi tisu persekitaran dengan rhinolith tersebut. Pemeriksaan ini biasanya dijalankan di klinik pakar telinga, hidung dan tekak.

Jika pesakit menemui doktor di klinik awam, mungkin imbasan sinar-X rongga hidung perlu dilakukan.

Disebabkan sifat rhinolith ini ialah seperti tulang atau batu (pembentukan garam kalsium), maka imej tersebut akan menjadi legap (opaque) terhadap sinar-X dan seterusnya membantu mengesahkan diagnosis. Seterusnya, pesakit akan dirujuk ke klinik pakar hidung.

Biasanya, dengan adanya peralatan untuk endoskopi nasal di hospital, penyiasatan pengimejan seperti sinar-X dan imbasan CT tidak diperlukan.

Namun, ada juga kes-kes tertentu di mana imbasan diperlukan untuk tujuan rawatan lanjut pesakit.

Rawatan

Rhinolith yang kecil dan tidak menunjukkan tanda-tanda melekat pada tulang dan struktur hidung biasanya boleh dirawat di klinik menggunakan bius setempat sahaja.

Pesakit kemudian akan diberikan antibiotik dan perlu hadir pada temujanji susulan untuk penilaian seterusnya.

Sungguhpun begitu, rhinolith bersaiz kecil ini jarang ditemui. Kes yang biasa datang ke klinik ialah dari jenis rhinolith bersaiz besar.

Pengeluaran di klinik menggunakan bius setempat mungkin tidak memadai dan mungkin memberikan kesakitan yang tidak dapat ditanggung oleh pesakit. Ia juga mungkin mengakibatkan rawatan kurang memuaskan.

Prosedur di bawah bius penuh mempunyai lebih justifikasi dari segi kesempurnaan proses pengeluaran rhinolith dan pencucian rongga hidung selepas prosedur tersebut lebih baik.

Lebih penting lagi, bius penuh dapat meminimumkan kesakitan yang dialami oleh pesakit.

Tambahan pula, bentuk dan permukaan rhinolith yang bergerigi seperti batu itu amat menyakitkan jika dikeluarkan ketika pesakit masih sedar.

Dalam kes-kes rhinolith yang bersaiz besar, ia mungkin dapat dikeluarkan secara serpihan demi serpihan kecil.

Ini bagi mengelakkan pengeluaran secara terus yang mungkin akan mengakibatkan lebih banyak kecederaan pada lapisan mukosa hidung yang sensitif terhadap geseran.

Sedikit pendarahan juga mungkin dialami selepas prosedur tersebut. Bagaimanapun, ia biasanya adalah terkawal.

Pesakit kemudian akan diberikan antibiotik dan ubat untuk mengurangkan keradangan dan pembengkakan serta ubat penahan sakit. Pesakit mungkin dibenarkan pulang keesokan harinya (selepas prosedur dijalankan) tetapi perlu menghadiri temujanji susulan.

Komplikasi

Sekiranya objek ini dibiarkan lama berada dalam hidung, maka beberapa komplikasi mungkin berlaku.

Gangguan dari segi struktur dan fungsi hidung mungkin terjadi. Pengaliran rembesan hidung juga mungkin akan terencat di samping pengaliran udara pernafasan juga akan tersekat.

Saiz rhinotih yang besar boleh mengakibatkan kerosakan struktur dalaman hidung seperti keradangan mukosa serta kerosakan tulang tengah hidung (yang terbentuk daripada rawan lembut) di mana kerosakan struktur ini akan menyebabkan rosaknya bentuk luaran hidung.

Komplikasi sebegini juga agak sukar untuk diperbetulkan dan pembedahan tambahan mungkin perlu dijalankan.

Sememangnya pencegahan itu sentiasa lebih baik, lebih murah dan lebih mudah daripada merawat komplikasi yang ada kalanya telah terlewat.

Ianya semudah memberi perhatian terhadap apa yang diberikan kepada anak-anak untuk bermain serta menasihati mereka supaya jangan cuba untuk memasukkan sesuatu ke dalam mana-mana rongga badan, baik lubang hidung atau lubang telinga.

Bagi golongan dewasa pula, mereka perlu lebih peka untuk mengenalpasti sebarang tanda perubahan yang berlaku pada badan sendiri.

Tidak kurang pentingnya, sewaktu pemeriksaan rutin bagi apa jua tujuan, maklumat yang tepat perlu diberikan kerana ia mungkin dapat mengesan apa yang selama ini tersembunyi.

sumber utusan online

No comments:

Post a Comment