Apr 19, 2009

Jerawat - Jangan pandang remeh

“SAYA tak tahu lagi apa yang perlu saya buat. Bermacam-macam ubat dan petua saya dah cuba tapi jerawat tak mahu hilang juga. Kadang-kadang malu juga melihat keadaan wajah saya lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan orang. Pernah saya tidak datang satu temuduga kerja kerana malu dengan muka saya yang penuh jerawat.”

Demikian antara luahan hati Norlia Ahmad, seorang remaja yang pemalu dan lebih suka menyendiri gara-gara kurang keyakinan disebabkan masalah jerawat yang agak serius dialaminya.

Norlia tidak berseorangan, sebaliknya ramai lagi remaja menghadapi masalah sama kerana mereka merupakan golongan yang paling mudah mengalami jerawat iaitu antara 80 peratus hingga 90 peratus.
Malah lebih teruk, kira-kira 30 peratus remaja yang berjerawat akan terus mempunyai masalah itu sehingga mereka dewasa.

Profesor Perubatan Mikrobiologi dari Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Ong Kok Hai berkata, untuk mengatasi masalah jerawat, seseorang terlebih dahulu perlu mengetahui punca yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku.

Secara umum katanya, jerawat adalah keadaan abnormal pada kulit akibat gangguan rembesan berlebihan kelenjar minyak (sebaceous gland) hingga menyebabkan saluran folikel rambut atau liang roma tersumbat.

Ini menyebabkan radang (bengkak) yang biasanya terjadi pada dada, belakang badan dan muka - bahagian paling kerap dijangkiti.

“Kita perlu faham bahawa kulit mempunyai banyak lapisan. Lapisan paling atas akan bertukar setiap 28 hari dan mengelupas sebagai sel mati. Dalam keadaan tertentu sel mati ini termasuk ke dalam liang-liang roma.

“Apabila liang-liang roma ini mengeluarkan minyak ia bercampur dengan sel-sel mati lalu membentuk gumpalan yang menyekat liang-liang roma,” katanya.

Menurut Kok Hai, jika tidak dikeluarkan, gumpalan ini memerangkap bakteria P. acnes di dalam liang roma tersebut sehingga menyebabkan radang dan seterusnya timbul jerawat.

Menurut Kok Hai, kebiasaannya jerawat bermula dengan kelihatan seperti bisul atau benjolan kecil pada kulit berwarna keputihan atau kemerahan.

Menurutnya lagi, punca sebenar terbentuknya jerawat tidak diketahui, bagaimanapun para doktor telah menyatakan beberapa faktor yang mungkin boleh dikaitkan sebagai penyebab masalah kulit itu.

Antaranya, peningkatan hormon di peringkat remaja menyebabkan kelenjar minyak menghasilkan lebih banyak minyak sebum, oleh itu liang roma tersumbat dengan lebih kerap.

Menurutnya, hasil penelitian menunjukkan sebanyak 85 peratus mengalami jerawat pada usia 12-25 tahun, 15 peratus mengalaminya hingga usia 25 tahun.

“Jika tidak diatasi dengan baik, gangguan jerawat boleh berlarutan sehingga usia seseorang mencecah 40 tahun,” katanya.

Jerawat juga kerap berlaku ketika wanita hamil berikutan perubahan hormon atau ketika permulaan dan pemberhentian penggunaan pil perancang kehamilan.

“Jerawat juga dikaitkan dengan keturunan di mana biasanya jika ibu bapa mempunyai masalah tersebut anaknya juga mungkin menghadapi masalah yang sama,” katanya.

Keyakinan

Kok Hai berkata, selain menimbulkan bekas yang menjejaskan penampilan, kesan utamanya adalah pada jiwa seseorang, seperti krisis keyakinan diri yang rendah dan kemurungan.

Justeru menurutnya masalah tersebut tidak harus dipandang remeh khususnya oleh golongan remaja dengan mengharapkan ia hilang sendiri apabila meningkat usia.

Rawatan biasa bagi jerawat adalah dengan menyapu krim yang mengandungi bahan-bahan kimia aktif seperti antiseptik atau antibakteria yang berfungsi untuk membunuh bakteria.

Namun katanya, krim hanya bertindak membunuh bakteria dari luar dan ia jarang menyelesaikan masalah jerawat hingga ke akar umbi.

“Sebab itu kita akan lihat dalam jangka masa singkat bengkak jerawat kering tetapi jerawat baru tumbuh lagi,” katanya.

Bagi yang mengalami masalah jerawat yang lebih serius biasanya mereka akan berjumpa doktor di mana akan diberi oral antibiotik (untuk dimakan).

Ia akan bertindak melawan jerawat dari dalam ke luar dan cara ini lebih berkesan berbanding sapuan krim.

Begitupun pengambilan antibiotik yang berlarutan akan menimbul kesan sampingan pada tubuh badan.

Jenis jerawat

* Whiteheads - jenis jerawat yang kekal tinggal di bawah permukaan kulit.

* Blacheads - jerawat ini timbul ke permukaan kulit dan kehitaman.

* Papul - bonjolan kecil berwarna merah jambu yang mungkin berasa sakit jika disentuh.

* Pustul - jerawat ini berwarna kemerahan di pangkal dan bernanah di bahagian atas.

* Nodul - jerawat yang besar, menyakitkan dan padu yang terdapat di dalam kulit.

* Sista - jerawat bernanah yang dalam dan menyakitkan dan boleh meninggalkan parut.

No comments:

Post a Comment