Dec 27, 2008

Enzim betik kesan logam berat

NUFERA: MAKANAN BERFUNGSI LENGKAP http://nufera-virgin-coconut-oil.blogspot.com/

LOGAM berat merupakan kumpulan bahan pencemar organik yang kritikal kerana ia tidak boleh terurai melalui proses degradasi dan akan terus kekal berada di dalam ekosistem.

Di Malaysia, pencemaran logam berat telah mencapai ke tahap berbahaya dengan statistik menunjukkan 10.4 peratus daripada 420,000 tan bahan buangan berjadual mengandungi logam berat terutama dalam bentuk lumpur.

Antara contoh bahan logam berat adalah seperti merkuri, argentum, plumbum, zink, kadmium dan kuprum.

Pendedahan yang kerap terhadap bahan tersebut boleh memberi kesan buruk jangka panjang terhadap kesihatan seperti merencatkan pertumbuhan, melemahkan minda, merendahkan daya tahan penyakit, merosakkan enzim dan menyebabkan penyakit kanser.


Kita mungkin sukar untuk mengenal pasti kewujudan bahan ini kerana ia melarut dalam medium cecair seperti air sungai, laut, longkang dan sebagainya.

Namun, melalui penyelidikan oleh Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menghasilkan produk penentuan logam berat berasaskan enzim.

Produk yang diberi nama Kit Xenoassay itu mengaplikasikan enzim papain yang banyak terdapat di dalam buah betik.


Kelebihan enzim tersebut adalah ia sangat sensitif terhadap kehadiran logam berat, mempunyai julat pH yang sesuai untuk aktiviti yang optimum serta stabil pada suhu persekitaran.

Menurut penyelidiknya, Dr. Mohd Yunus Abd. Shukor, kit tersebut yang direka dalam bentuk mikroplat berupaya mengukur pelbagai jenis sampel dalam jumlah yang banyak.

‘‘Satu kit ini boleh digunakan untuk menjalankan sebanyak 95 sehingga 100 ujian.

‘‘Kos menjalankan ujian menggunakan kit ini juga adalah lebih murah iaitu lebih kurang 50 sen untuk satu ujian,’’ katanya ketika ditemui pada Majlis Promosi Hasil Penyelidikan UPM di Serdang, baru-baru ini.

Kit Xenoassay merupakan teknik pengesanan logam terlarut yang mudah kerana ia memberikan keputusan yang cepat serta boleh digunakan secara terus di lokasi tanpa perlu membawa sampel ke makmal.

Ia secara tidak langsung dapat memudahkan proses pemeriksaan serta menjimatkan masa kerana hanya sampel yang positif akan dibawa ke makmal untuk penyelidikan lanjut.

Untuk menggunakannya, Kit Xenoassay akan dimasukan ke dalam sampel cecair yang dikatakan tercemar.

Sampel yang bebas dari logam berat akan bertukar kepada warna perang manakala sampel yang kekal berwarna biru menunjukkan kehadiran logam berat.

Dengan kemudahan tersebut, penggunaan Kit Xenoassay boleh diaplikasikan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dalam menentukan tahap pencemaran air sungai atau pun laut.

Ia juga boleh digunakan oleh para pelajar untuk menjalankan eksperimen bioteknologi berkaitan kesan logam berat terhadap aktiviti enzim.

Apa yang paling penting adalah pelajar-pelajar dididik sejak dari peringkat sekolah untuk memupuk kesedaran bahawa pencemaran alam sekitar memberi banyak kesan buruk kepada kehidupan.

No comments:

Post a Comment